Monday, October 13, 2014

CONTOH SURAT PERJANJIAN SEWA PEJABAT



PERJANJIAN PENYEWAAN RUANG PEJABAT
ANTARA
……………………………..
(NO.SYARIKAT: ……………….)





DENGAN
………………………………………………..
(TUAN TANAH)



PERJANJIAN INI dibuat pada ………. hari bulan …………………………… 2008 di antara …………………………………………… (NO.SYARIKAT : …………),
sebuah syarikat yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang beralamat di ....................................................................... (kemudian daripada ini disebut sebagai “Tuan Tanah”) sebagai satu pihak dengan (PENYEWA) yang bagi maksud Perjanjian ini diwakili oleh (NAMA WAKIL, JIKA WAKIL) yang beralamat di (..ALAMAT…) (kemudian daripada ini disebut sebagai “Penyewa”) sebagai pihak yang satu lagi. Tuan Tanah dan Penyewa kemudian daripada ini secara bersesama dirujuk sebagai “kedua-dua pihak” dan secara individu dirujuk sebagai “pihak”.

BAHAWASANYA Tuan Tanah ialah tuan punya berdaftar bangunan pejabat yang beralamat di …………………………………………. (kemudian ini disebut sebagai “Bangunan Tersebut”) yang terletak di atas sekeping tanah yang diperihalkan sebagai ………………………………….  (kemudian daripada ini disebut sebagai “Tanah Tersebut”).

DAN BAHAWASANYA Tuan Tanah bersetuju menyewakan ruang pejabat yang ditandakan dengan dakwat merah sebagaimana yang ditunjukkan dalam pelan di Lampiran A Perjanjian ini dan mengandungi jumlah ruang pejabat seluas ………….. meter persegi (…………………. kaki persegi) (kemudian daripada ini disebut sebagai “Semua Premis Demis”) yang terletak di Bangunan Tersebut dan Penyewa bersetuju mengambil Semua Premis Demis tersebut secara sewaan bagi kegunaan (….PENYEWA) ……………. TERTAKLUK KEPADA syarat-syarat dan terma-terma yang dinyatakan kemudian daripada ini.




1. MAKA PENYEWA DENGAN INI BERSETUJU DENGAN TUAN TANAH seperti yang berikut:

(i) Penyewaan ini adalah bagi tempoh tiga (3) tahun mulai …………………. dan akan berakhir pada ……………………. (kemudian daripada ini dirujuk sebagai “Tempoh Perjanjian”). Tempoh Perjanjian ini boleh dilanjutkan untuk suatu tempoh masa yang tidak melebihi tiga (3) tahun berikutnya atas kadar sewa yang dipersetujui dengan persetujuan kedua-dua pihak.

(ii) Penyewa bersetuju membayar kepada Tuan Tanah sewa bulanan sebanyak Ringgit ………………………………. (RM ……………) sahaja termasuk bayaran perkhidmatan yang akan dibayar, dengan cek atau kiriman wang atas nama …………………………. pada tiap-tiap bulan dan sewaan bulanan hendaklah dibayar dalam masa empat belas (14) hari yang pertama setiap bulan. Bayaran sewa bulanan tersebut adalah termasuk:

(a) bayaran cukai pintu dan cukai tanah;
(b) insurans kebakaran Bangunan Tersebut ;
(c) bayaran pembaikian luar dan dalam Bangunan Tersebut;
(d) bayaran penyediaan sistem pencegahan kebakaran bagi
Bangunan Tersebut;
(e) bayaran elektrik dan pembersihan ruang gunasama;
(f) bayaran penyediaan dua puluh lima (25) petak tempat letak
kereta; dan
(g) bayaran bagi kawalan keselamatan.

(iii)     Akan membayar sewa yang dikenakan pada hari dan mengikut cara yang disebut di atas;

(iv)     Akan menggunakan Semua Premis Demis sebagai ruang pejabat sahaja;

(v)     Akan membayar bil elektrik, telefon dan kemudahan-kemudahan lain yang digunakan oleh Penyewa di Semua Premis Demis tersebut;

(vi)     Tidak akan menyerahhakan, menyewa kecil atau melepaskan milik Semua Premis Demis itu atau mana-mana bahagian daripadanya tanpa persetujuan bertulis Tuan Tanah terlebih dahulu dan persetujuan itu tidak boleh ditahan dengan tidak munasabahnya;

(vii)    Tidak akan membuat sebarang perubahan, tambahan atau pertukaran bentuk dengan apa cara sekalipun kepada Semua Premis Demis atau mana-mana bahagian daripadanya tanpa persetujuan bertulis Tuan Tanah dan persetujuan itu tidak boleh ditahan dengan tidak munasabahnya;

(viii)   Tidak akan melakukan, membenarkan atau membiarkan dilakukan atas Semua Premis Demis itu apa-apa perbuatan yang boleh menjadi kacau ganggu, menyebabkan kegusaran atau gangguan ketenteraman dan keselesaan kepada pejabat-pejabat yang berdekatan;

(ix)     Akan memelihara Semua Premis Demis dan kelengkapan serta
pepasangan di dalamnya, sepanjang Tempoh Perjanjian ini, supaya berada dalam keadaan baik dan boleh diduduki oleh Penyewa (rosakrosak biasa dan susutan lazim adalah dikecualikan);

(x)     Akan membenarkan Tuan Tanah dan ejen-ejennya, pada setiap masa yang sesuai dan setelah notis bertulis yang munasabah diberikan terlebih dahulu masuk ke dalam Semua Premis Demis bagi maksud memeriksa kedudukan dan keadaan Semua Premis Demis itu serta menjalankan kerja-kerja membaiki Semua Premis Demis; dan

(xi)     Menyerah kembali dengan sempurna dan aman kepada Tuan Tanah Semua Premis Demis itu berserta dengan kelengkapan-kelengkapan atau pepasangan-pepasangan pada kelengkapan itu yang jika ditanggalkan akan merosakkan bangunan itu apabila Tempoh Perjanjian ini tamat ataupun ditamatkan mengikut syarat-syarat Perjanjian ini. Penyewa, bagaimanapun, boleh memindahkan manamana kelengkapan atau pepasangan yang dipasang olehnya selepas Perjanjian ini ditandatangani dengan syarat ia menggantikan apa-apa kerosakan yang disebabkan oleh pemindahan itu.






2. TUAN TANAH DENGAN INI BERSETUJU DENGAN PENYEWA seperti yang berikut:

(i)      Akan membayar segala cukai tanah tahunan, kadaran, cukai, taksiran pada masa sekarang dan akan datang dan bayaran lain yang sedang atau mungkin selepas daripada Perjanjian ini ditandatangani, dikenakan atau ditangguhkan ke atas Bangunan Tersebut dan kena dibayar oleh Tuan Tanah kecuali apa-apa caj yang dipersetujui terdahulu supaya dibayar oleh Penyewa;

(ii)      Akan dengan serta-merta menjalankan kerja membaiki Bangunan Tersebut dan Semua Premis Demis yang Tuan Tanah adalah bertanggungan di bawah Fasal 2 Perjanjian ini setelah notis bertulis diberikan oleh Penyewa dan jika Tuan Tanah tidak mematuhi notis itu dalam masa lima (5) hari dari tarikh penyampaian notis tersebut, Penyewa adalah bebas menugaskan seorang atau beberapa orang pekerja untuk menjalankan kerja-kerja pembaikian dan kos yang ditanggung oleh Penyewa hendaklah dipotong daripada sewa bulan yang ditetapkan di bawah Fasal 1(ii) Perjanjian ini;

(iii)     Akan membenarkan Penyewa yang telah dengan wajar membayar sewa yang dikenakan itu dan yang melaksanakan dan mematuhi terma-terma dan syarat-syarat pada pihaknya yang terkandung dalam Perjanjian ini supaya memegang dan menikmati secara aman dan tenteram Semua Premis Demis itu dalam Tempoh Perjanjian ini tanpa gangguan atau kekacauan daripada atau oleh Tuan Tanah atau manamana orang yang menuntut secara sah melalui, di bawah atau sebagai amanah bagi pihak Tuan Tanah;

(iv)     Akan mengadakan atas perbelanjaan Tuan Tanah bekalan air yang mencukupi untuk Semua Premis Demis;

(v)     Akan membayar caj elektrik bagi kawasan kegunaan bersama;

(vi)     Akan menjaga supaya berada dalam keadaan baik struktur utama, bumbung, dinding, lantai, parit besar Bangunan Tersebut, lif, jalan masuk, dewan, koridor, laluan, tangga dan semua bahagian lain Bangunan Tersebut, yang dinikmati atau digunakan oleh Penyewa bersama dengan Tuan Tanah dan penyewa lain Bangunan Tersebut;

(vii)    Akan menyelenggarakan tandas yang terletak dalam Semua Premis Demis (selain tandas yang dicantumkan secara khusus pada sesuatu bilik tertentu) dan dikhaskan hanya untuk kegunaan Penyewa sendiri, pekhidmat, pekerja dan para pelawatnya supaya berada dalam keadaan bersih yang sepatutnya dan layak untuk kegunaan dan kenikmatan yang selesa oleh Penyewa, pekhidmat, pekerja dan para pelawatnya;

(viii)   Akan menginsuranskan dan sentiasa menginsuranskan Bangunan Tersebut pada setiap masa sepanjang Tempoh Perjanjian ini terhadap kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran dan akan membayar premium yang perlu bagi maksud itu bilamana dikehendaki oleh Penyewa, untuk mengemukakan polisi insurans dan resit bagi premium tahun semasa kepada Penyewa dan dalam hal kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh kebakaran kepada Semua Premis Demis dengan serta-merta membina dan memasang semula Semua Premis Demis itu;

(ix)     Akan menyediakan kepada Penyewa dua puluh lima (25) petak tempat letak kereta yang berdampingan dengan tidak dikenakan apa-apa bayaran bulanan;

(x)     Akan menjaga lif, koridor, tangga dan laluan menuju ke Semua Premis Demis supaya sentiasa berada dalam keadaan bersih dan cukup terang;

(xi)     Akan membersihkan dan menghias bahagian luar Semua Premis
Demis itu;

(xii)    Akan membekalkan …………. (…..) buah pemadam api,
menyelenggarakan, membaiki dan memperbaharui pada bila-bila masa yang perlu pemadam api dalam Semua Premis Demis tersebut;

(xiii)   Akan menggaji seorang atau beberapa orang pengawal keselamatan yang kompeten untuk mengawal keseluruhan Bangunan Tersebut;

(xiv)   Kecuali jika loji penyaman udara ditutup untuk penyelenggaraan atau pembaikan atau kerana sebab-sebab lain yang munasabah, akan menyaman-udarakan Semua Premis Demis antara waktu dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Isnin hingga hari Jumaat dan dari pukul 8.00 hingga 1.00 tengahari pada hari Sabtu kecuali pada hari cuti umum; dan jika berlaku kerosakan kepada loji penyaman udara Tuan Tanah hendaklah menyebabkan supaya diperbaiki dengan seberapa segera yang boleh;

(xv)    Akan mengadakan perkhidmatan lif pada setiap masa dalam masa waktu bekerja biasa seperti yang disebut di atas dan akan membenarkan Penyewa, pekhidmat, pekerja, pelawatnya dan semua orang lain yang diberi kuasa oleh Penyewa menggunakan pintu masuk, dewan, lif, tangga, koridor dan laluan Bangunan Tersebut setakat mana yang pintu masuk, dewan, lif, tangga, koridor dan laluan itu digunakan sebagai jalan masuk ke dan jalan keluar dari Semua Premis Demis itu DENGAN SYARAT SENTIASANYA bahawa selepas waktu pejabat biasa seperti yang disebut terdahulu dan pada hari Ahad dan hari kelepasan am hak Penyewa untuk menggunakan dengan bebas pintu masuk tersebut boleh dihadkan oleh Tuan Tanah kepada satu pintu masuk yang lazim sahaja ke Bangunan Tersebut; dan

(xvi)   Akan menyelenggarakan, memperbaiki, mencuci dan menjaga supaya berada dalam keadaan baik dan boleh diduduki Penyewa halaman depan, jalan kecil, jalan tuju ke Bangunan Tersebut dan medan letak kereta yang diperuntukkan kepada Penyewa dan akan memastikan bahawa tiada kereta selain kereta atau kenderaan dalam medan letak kereta tersebut selain kereta atau kenderaan kepunyaan Penyewa, pekerjanya dan orang lain yang diberi kuasa oleh Penyewa untuk menggunakan medan letak kereta tersebut;


3. DENGAN SYARAT SENTIASANYA DAN ADALAH DENGAN INI
DIPERSETUJUI DI ANTARA KEDUA-DUA PIHAK KEPADA PERJANJIAN INI seperti yang berikut:

(i)      Jika sewa yang ditetapkan atau mana-mana bahagiannya yang
dipersetujui dalam Perjanjian ini kena dibayar oleh Penyewa adalah tertunggak dan masih tidak dibayar pada bila-bila masa selama empat belas (14) hari selepas genap masanya kena dibayar sama ada diminta secara formal atau tidak atau jika mana-mana waad, ketetapan atau perjanjian lain pada pihak Penyewa yang terkandung dalam Perjanjian ini tidak dilaksanakan atau dipatuhi maka dan dalam manamana hal itu adalah sah di sisi undang-undang bagi Tuan Tanah pada bila-bila masa sesudah itu menyampaikan notis lucut hak kepada Penyewa menurut Seksyen 253, Kanun Tanah Negara 1965 dan adalah dengan ini saling dipersetujui bahawa masa yang munasabah untuk meremedikan pelanggaran yang menjadi hal perkara notis lucut hak tersebut ialah tiga puluh (30) hari kecuali mengenai hal tidak bayar sewa, empat belas (14) hari hendaklah disifatkan sebagai masa yang munasabah dan apabila habis tempoh yang dinyatakan dalam notis lucut hak tersebut tanpa pelanggaran yang diadukan itu diremedikan Tuan Tanah adalah bebas untuk memasuki semula Semua Premis Demis itu atau mana-mana bahagiannya dan berikutan dengan itu Perjanjian ini ditamatkan dengan mutlaknya tetapi tanpa menyentuh hak mana-mana pihak untuk mengambil tindakan mengenai apa-apa pelanggaran terhadap persetujuan pihak yang satu lagi yang terkandung dalam Perjanjian ini;

(ii)      Tuan Tanah atau Penyewa boleh, pada bila-bila masa sepanjang
Tempoh Perjanjian ini, menamatkan Perjanjian ini dengan memberikan sekurang-kurangnya tiga (3) bulan notis secara bertulis kepada pihak yang satu lagi;

(iii)     Jika pada bila-bila masa sepanjang tempoh penyewaan ini Semua Premis Demis itu atau mana-mana bahagiannya musnah atau rosak disebabkan oleh kebakaran, ribut, taufan atau sebab lain yang tidak dapat dielakkan dan di luar kawalan Tuan Tanah hingga menjadikannya tidak layak untuk diduduki atau digunakan maka sewa yang dikenakan itu atau kadarnya yang patut dan adil mengikut sifat dan takat kerosakan yang berlaku itu yang dalam hal pertikaian melalui timbangtara akan ditentukan mengikut cara yang diperuntukkan oleh Akta Timbang Tara 2005 atau mana-mana ubahsuaian statutori yang berkuat kuasa pada masa pertikaian itu hendaklah digantungkan dan terhenti daripada kena dibayar sehingga Semua Premis Demis itu menjadi layak untuk diduduki dan digunakan DENGAN SYARAT SENTIASANYA bahawa jika Semua Premis Demis itu atau manamana bahagiannya tidak menjadi layak untuk diduduki maka Penyewa boleh dengan serta merta menamatkan penyewaan ini melalui notis secara bertulis kepada Tuan Tanah tetapi penamatan itu hendaklah tanpa menyentuh apa-apa tuntutan oleh mana-mana satu pihak terhadap pihak yang satu lagi mengenai apa-apa pelanggaran terdahulu terhadap mana-mana persetujuan atau syarat yang terkandung dalam Perjanjian ini;

(iv)     Jika berlaku apa-apa hal pertikaian atau tuntutan yang timbul daripada atau berkenaan dengan Perjanjian ini atau pelanggaran atau penamatan berkenaan dengan Perjanjian ini yang tidak dapat diselesaikan secara baik/aman oleh pihak-pihak yang terlibat, hal, pertikaian atau tuntutan tersebut hendaklah dirujuk kepada penimbang tara yang hendaklah dipersetujui oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat atau sekiranya tidak ada persetujuan, hendaklah dicalonkan, atas permintaan/permohonan oleh salah satu pihak yang terlibat, oleh Pengarah Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur dan apa-apa rujukan hendaklah dianggap sebagai suatu rujukan kepada timbang tara mengikut cara yang diperuntukkan oleh Akta Timbang Tara 2005.
Keputusan yang diberikan oleh penimbang tara adalah muktamad dan mengikat pihak-pihak yang terlibat;

(v)     Setiap timbang tara hendaklah dijalankan di Pusat Timbang Tara
Serantau Kuala Lumpur dengan menggunakan kesemua kemudahan dan kelengkapan yang tersedia di Pusat tersebut atau mana-mana tempat yang akan ditentukan oleh penimbang tara dan dipersetujui oleh pihak-pihak yang terlibat;

(vi)     Apa-apa rujukan kepada mana-mana hal, pertikaian atau tuntutan
kepada timbang tara selaras dengan Fasal ini dan/atau perlanjutan prosiding timbang tara akibat daripadanya hendaklah tanpa menyentuh apa-apa tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap pihak yang satu lagi mengenai apa-apa perlanggaran terdahulu terhadap mana-mana persetujuan atau syarat yang terkandung dalam Perjanjian ini;

(vii)    Atas permintaan bertulis daripada Penyewa yang dibuat tiga (3) bulan sebelum tamat penyewaan ini, Tuan Tanah bolehlah melanjutkan Perjanjian ini bagi tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun berikutnya dengan kadar sewa bulanan yang saling dipersetujui oleh kedua-dua pihak dan tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat sebagaimana yang terkandung dalam Perjanjian ini kecuali dan melainkan syarat ini;

(viii)   Masa di mana ianya disebut di sini adalah dianggap penting lagi
mustahak;

(ix)     Perjanjian ini hendaklah mengikat ejen-ejen, wasi-wasi, pentadbirpentadbir, pengganti-pengganti dalam pindahmilik Tuan Tanah dan Penyewa;

(x)     Apa-apa notis yang hendak diberi kepada Tuan Tanah atau Penyewa, mengikut mana-mana yang berkenaan, di bawah Perjanjian ini hendaklah disifatkan sebagai telah diberi dengan sempurnanya jika diserahkan secara kediri atau dialamatkan melalui pos berdaftar yang telah dijelaskan bayaran posnya kepada alamat-alamat berikut:

(a)     kepada Tuan Tanah
(Tuan Tanah)
Tel :
Faks :

 (b)    kepada Penyewa
(Penyewa)
(Alamat)
Tel :
Faks :



(xi)     Jika berlaku pertukaran alamat pada mana-mana pihak maka pihak tersebut hendaklah memberitahu pihak yang satu lagi dalam tempoh tiga puluh (30) hari daripada tarikh pertukaran alamat dan suratmenyurat di antara kedua-dua pihak. Sekiranya tidak ada pemberitahuan oleh mana-mana pihak seperti yang dinyatakan dalam Fasal ini, apa-apa notis yang dialamatkan kepada alamat dibawah Fasal 3(x) adalah sah dan berkuat kuasa di bawah Perjanjian ini;

(xii)    Terma dan syarat di bawah Perjanjian ini boleh dipinda dari semasa ke semasa dengan persetujuan kedua-dua pihak melalui suatu perjanjian tambahan yang merujuk secara khusus kepada Perjanjian ini dan ditandatangani oleh wakil-wakil yang diberi kuasa dengan sewajarnya oleh Tuan Tanah dan Penyewa. Pindaan perjanjian tersebut hendaklah dibaca dan ditafsirkan sebagai sebahagian daripada Perjanjian ini;

(xiii)   Kos bagi penyediaan Perjanjian ini dan bayaran duti setem hendaklah ditanggung oleh Penyewa; dan

(xiv)   Perjanjian ini hendaklah dikawal oleh dan ditafsirkan mengikut undangundang semasa Malaysia dan pihak-pihak di bawah Perjanjian ini secara muktamad menyerah kepada bidang kuasa mahkamah Malaysia.











PADA MENYAKSIKAN HAL DI ATAS, pihak-pihak kepada Perjanjian ini telah menurunkan tandatangan dan meteri mereka pada hari, bulan dan tahun yang pertama tertulis di atas.


Ditandangani untuk dan bagi pihak )
TUAN TANAH )
) ………………………………
Di hadapan
……………………………………………...
(Tandatangan Saksi)







Ditandatangani untuk dan bagi pihak )
PENYEWA )
)
……………………………………
Di hadapan
………………………………………………
(Tandatangan Saksi)

 

[SEBAHAGIAN DARIPADA MUKA SURAT INI SENGAJA DIBIARKAN KOSONG]

No comments: